-TiaDa kENikMatan, keMaNiSan iBadaH taNpa iLmu-


In The Name of ALLAH,Most Gracious Most Merciful...

Holy Prophet Muhammad, peace and blesssings be upon him and his Household (Ahlul Bayt)


RAMADAN telah pun berakhir, belum terlambat untuk ana mengucapkan tahniah bagi saudara seakidah yang istiqamah menjaga ibadah dengan sempurna sebagaimana yang diteladani daripada sunnah Nabi SAW. Diucapkan dukacita kepada sesiapa yang cepat bosan dengan ibadahnya, tidak merasai kemanisan puasa, solat malam dan membaca al-Quran.

Mereka hanya menikmati keletihan saja. Mereka tidak mampu menyelami hakikat ibadah sedalam-dalamnya disebabkan kejahilan dan terhalangnya hati mendekati ilmu. Lalu hati cepat berpaling, jemu dan mencari kerehatan sepuas-puasnya sehingga tidak disangka ia menjadi lalai.

Tanpa ilmu ibadah tidak terasa nikmat, hati kurang menjiwai amal, akal menjadi jumud dan terikut-ikut suasana tanpa keyakinan. Ibadah yang dilakukan ala kadar dan tanpa asas ilmu akan cepat hilang kepanasannya, bagai manusia tiada roh dan mati jiwanya.

Oleh itu ramai beribadah tetapi masih mencari rezeki dengan menipu orang lain, memakan riba, dan rasuah. Tidak sedikit yang begitu teliti menjaga kesucian badannya daripada najis tetapi tidak menjaga kesucian hatinya daripada mengumpat, memfitnah, berkata kesat kepada orang lain bahkan bersumpah palsu.

Mereka semua ahli ibadah tetapi ibadah yang bukan dari hati yang mengenal Tuhannya. Jauh sekali berpegang kepada asas ilmu yang diwarisi daripada Nabi SAW. Bahkan ramai yang beribadah secara taksub bertaqlid kepada tokoh agama disucikan dan tersohor, sayangnya sunnah Nabi SAW yang sahih diketepi begitu saja.

Apa saja perkataan tokoh itu diikuti tanpa usul periksa dan jauh sekali mahu merujuk kepada Al-Quran dan al-Hadis, akhirnya ibadah yang dilakukan terseleweng daripada kebenaran. Begitulah ragam orang beribadah, yang jahil atau yang taqlid buta, kedua-duanya akan berasa keletihan dan cepat bosan kerana tidak melalui jalan yang dilalui Nabi SAW.

Hanya ibadah cara Nabi SAW yang menjanjikan kenikmatan, kepuasan jiwa dan ketenangan hati. Sebagaimana yang dilalui sahabat dan Salafus salih. Antara rahsia ibadah dan syarat kesempurnaannya sebagaimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW adalah:

#Ibadah membina asas tauhid

Jalan mengenal Allah hendaklah diterokai sewaktu melakukan ibadah. Kesempurnaan nama, sifat-sifat dan perbuatan-Nya sewajarnya difahami dengan penghayatan yang mendalam supaya lahir jiwa hamba yang berserah diri, patuh dan mencintai Allah SWT tanpa syarat.

Belajar ilmu mengenal Allah SWT melalui al-Quran dan Hadis akan memberi kesan terhadap kualiti ibadah yang dilakukan. Oleh itu Rasulullah SAW mengajar umatnya untuk menyebut nama dan sifat Allah ketika berdoa, memuji Allah dalam sembahyang, merasai kebesaran Allah ketika berpuasa, haji dan umrah. Bahkan ketika bermusafir dengan berjalan kaki pun Baginda menyuruh sahabatnya bertakbir ketika menaiki bukit dan bertasbih ketika menuruninya. Menyebut nama dan sifat Allah yang mulia seraya memuji dengan penuh khusyuk memberi kesan terhadap hubungan dua hala di antara hamba dan Tuhannya. Untuk itu dapat disimpulkan bahawa kenikmatan ibadah bergantung kepada sejauh mana hati seseorang itu mengenal Allah.

# Ibadah sebagai bukti cinta dan mengharap rahmat-Nya.

Ibnu Al-Qayyim Al-Jauziyah dalam kitabnya Zadul Ma'ad telah memaparkan dua jenis cinta yang hidup di dunia. Pertama cinta yang menjadi kesenangan jiwa, kelazatan hati, kenikmatan roh, hidangan dan penawar kalbu iaitu cinta kepada Allah semata. Kedua, cinta yang menjadi seksaan bagi roh, keresahan jiwa, penjara hati dan kesesakan dada. Ia menjadi sebab kepedihan dan keletihan, itulah cinta kepada selain Allah SWT.

Sesiapa yang lebih mencintai sesuatu selain Allah, maka dia akan diseksa dengan sesuatu yang dicintainya itu. Cinta kepada dunia ataupun wanita membuat seseorang letih dan payah mengejar kenikmatan perasaan dan akhirnya terpenjara olehnya. Tetapi jika dia mencintai Allah SWT, menghadirkan bukti cinta itu dengan beribadah secara ikhlas maka Allah akan memberi ketenangan hati. Adapun orang yang cinta akan sentiasa mengharap balasan daripada yang dicintai, begitu pula seorang hamba yang menagih rahmat-Nya setiap kali melakukan sembahyang, zikrullah, puasa, tilawatul Quran, sedekah, haji dan umrah.

Jika bukan kerana rahmat-Nya siapalah kita, sebagaimana al-Quran mengingatkan menerusi firman-Nya yang bermaksud:

"Dan sekiranya bukanlah kerana kurniaan Allah dan rahmat-Nya kepada kamu semua, (nescaya kamu akan ditimpa azab yang besar) dan Allah Maha Penyantun lagi Maha Penyayang." � (Al-Nur: 20)

Dengan beribadah, seorang hamba membuktikan bahawa sesungguhnya dia mencintai Allah dan layak menerima balasan rahmat-Nya. Ibadah yang diikat dengan rasa cinta berlainan daripada ibadah yang dilakukan tanpa ikatan perasaan apapun.

wallahu'alam..

0 leave ur comment here: