-JaNji perLu dikotakaN BukaN SekaDar PeMaNis muLut-




In The Name of ALLAH,Most Gracious Most Merciful...
Holy Prophet Muhammad, peace and blesssings be upon him and his Household (Ahlul Bayt)



TTINDAK balas kita sebagai umat Islam apabila sesuatu situasi berlaku ada kala dilakukan dengan tujuan sebagai untuk menunjukkan keprihatinan semata-mata. Seolah-olah keikhlasan hanya perkara kedua dan tidak penting dalam mendasari sesuatu peristiwa. Apabila kita mendapat tahu berita kematian dari seseorang dengan pantas kita akan menyebut 'Innalillahiwainahillahirajiun' (dari Allah dia datang kepada Allah dia kembali). Selepas itu sama ada si mati akan diziarahi atau tidak akan bergantung kepada sama ada si mati ada hubungan kekeluargaan, kawan rapat atau ada hubungan perniagaan dengan penerima berita berkenaan. Seolah kematian itu dekat dengan si arwah dan jauh dari kita.

Kata orang cara yang paling baik ialah cara yang selamat. Mungkin dengan hanya menyambut berita kematian dengan satu baris ayat yang menjadi perkara sunat dan sifat seorang Muslim sudah cukup untuk melepaskan tanggungjawab kita untuk mengetahui kebajikan si mati yang tidak mempunyai kepentingan wang ringgit kepada kita.

Kita lekas beranggapan akan ada orang yang akan mengafan dan mengebumikan jasad si mati dan kita akan segera berfikir secara logik apa perlu melawat orang meninggal dunia yang tiada kepentingan dan keuntungan langsung kepada diri kita. Lainlah kalau si mati itu majikan kita, klien kita, ibu bapa kita, saudara kita, guru kita, sahabat kita mungkin kita akan segera berziarah dan sama-sama membantu dalam urusan pengebumian.

Tabiat hanya memberi tindak balas tanpa melakukan amalan sepatutnya, mungkin kerana desakan hidup dan tiada keuntungan ekonomi kepada penerima berita. Selain itu kerap kali apabila berjanji, pemberi janji akan mengucapkan `insyaAllah` (jika diizinkan Allah), seolah-olah setiap perkara yang gagal dilakukan disebabkan Allah SWT tidak memberi restu dan memakbulkan usaha kita sedangkan usaha kita entah di mana dan ke mana hala tujunya.

Perkara ini ada kalanya amat menyedihkan kerana ia lazim dilakukan pemimpin yang banyak memberi janji itu dan ini kepada rakyat dan untuk melepaskan diri mereka menjadikan ucapan insyaallah sebagai insurans apabila ia gagal direalisasikan. Apabila gagal orang lain pula akan dijadikan `kambing hitam` seolah janji yang dibuat sekadar pemanis kata-kata yang mengandungi racun berbisa. Bagi pemimpin sebegini jangan jadikan ayat-ayat Allah sebagai pelapik kata kerana lidah yang berkata-kata perlu mempunyai bahu yang kuat untuk memikul tanggungjawab, jangan hanya menyebut insyaallah, alhamdullillah, subhanallah demi memukau orang yang mendengar. Dunia sekarang manusia ingin melihat bukti dan realiti bukan hanya janji yang tidak pasti dan khabar angin yang hanya sedap didengar namun jauh daripada kemampuan kita untuk melakukannya.

Maka berhati-hatilah dengan kata-kata kita sekadar memberi respons yang kita anggap sudah memadai untuk menunaikan tanggungjawab lebih tepat sebagai seorang Muslim yang saling bersaudara. Kita boleh berkata `insyaallah` jika kita yakin usaha kita kelak akan berhasil dan munasabah dilakukan. Jika kita hanya mampu berkata-kata sekadar menyedapkan hati orang lain dan kemudiannya melepaskan tanggungjawab kita, lebih baik kita usah memberi tindak balas langsung kelak kita dianggap sebagai manusia yang bersifat hipokrit dan terlebih keyakinan diri sedang usaha belum dibuat manifesto panjang berjela-jela.

Manifestasinya manusia yang rasional akan memandang rendah kepada kita sebagai sama ada pemimpin atau seorang profesional. Adalah lebih baik apabila menerima sama ada menerima berita kematian atau berjanji untuk berusaha sama ada melawat si mati atas dasar sesama Muslim dan hanya berjanji jika kata itu mampu dikotakan.

wallahu a'lam..


0 leave ur comment here: