-Are MusLims aLLowed to KeeP dogs?-


In The Name of ALLAH,Most Gracious Most Merciful...

Holy Prophet Muhammad, peace and blesssings be upon him and his Household (Ahlul Bayt)


Alhamdulillah, ana masih lagi kesempatan untuk menulis dan meng"update" blog. Walaupun akhir-akhir ni agak sibuk sedikit dengan hal-hal duniawi tapi hari ini ana akan cuba juga curi sedikit masa bagi merungkai pertanyaan dari sahabiah ana. Asif jiddan kerana sedikit terlambat untuk publish entry pasal ni,ye ukhti. Ana sempat save je. Baru hari ni berkesempatan untuk publish.

Are muslims allowed to keep dogs???

Tajuk entri ana kali ni akan membicarakan tentang memelihara anjing bagi orang Islam. Walaupun soalan ni agak remeh bagi sesetengah pihak TETAPI ramai musuh-musuh Islam mendalami agama Islam semata-mata untuk menimbulkan keraguan dalam bab hukum-hakam sekaligus menyesatkan umat Islam. Wallahu'lam. Namun, kadang-kadang keraguan juga berlaku apabila melihat rancangan-rancangan TV yang memaparkan orang Islam diluar negara begitu mesra dengan anjing peliharaan. Terdapat juga di kalangan orang Arab yang memelihara anjing dalam keadaan berjubah dan berserban. Jadi, mungkin timbul di benak pemikiran masyarakat kita, bagaimanakah kedudukan anjing sebenarnya di dalam Islam? Adakah ia binatang yang haram dipelihara ekoran najis mughallazahnya, ataupun sebaliknya? Jadi berhati-hati la dengan sebarang penghujahan yang tidak berfatwa. Ana akan cuba berusaha memberikan pandangan terbaik berdasarkan Al-Quran dan As-Sunnah..insyaALLAH..

Walaubagaimanapun ada sebuah laman web yang mengeluarkan statement macam nih, "ANJING HARAM??SIAPA KATA?? STOP THE FITNAH AND TOMAH..TERHADAP STATUS ANJING"..Mungkin ana tidak harus mengemukakan di sini laman web tersebut kerana ana merasakan laman web tersebut bakal mengelirukan umat Islam. Dan kerana itulah ana terpanggil untuk berbicara biarpun ana masih ketandusan ilmu, ana bukan la seorang yang terlalu pandai dalam ilmu agama, ana masih belajar, apa yang ana cuba sampaikan ni pun mungkin terdapat cacat celanya di mana-mana. Moga ilmu yang dizakatkan ini akan memberi berkat dan menambah hingga menjadi ladunni dan wahbi. Harap dibetulkan mana-mana statement yang salah, terutamanya berkaitan dengan hadis..wallahu'alam..

i-Kedudukan anjing dalam Islam

- Anjing adalah ciptaan ALLAH, dan ALLAH tidak menjadikan sesuatu itu dengan sia-sia, sebaliknya setiap sesuatu itu ada hikmahnya. Adakah ALLAH menciptakan anjing untuk dipandang hina oleh umatnya?? Sebenarnya, anjing merupakan binatang yang dikategorikan dan dianggap najis, ini termaktub di dalam hadis yang sahih. Menurut jumhur fuqahak, anjing membawa najis mughallazah(najis berat). Dalam kata lain, segala perkara yang ada hubungan dengan binatang ini seperti tahi, kencing, daging, kulit dan sebagainya dikira sebagai najis mughallazah. Ia berdasarkan perintah Rasulullah saw agar membasuh bekas yang dijilat anjing sebanyak tujuh kali dimulakan dengan air yang bercampur dengan tanah. Sabda Nabi saw yang bermaksud,

" Sucikan bejana (bekas) salah seorang daripada kamu yang dijilati anjing adalah dengan dibasuh bejana itu tujuh kali dengan air dan pada basuhan pertama dicampur dengan tanah."
(Hadis Riwayat Muslim, Abu Daud dan Ahmad).

Mungkin timbul persoalan mengapa Rasulullah menyuruh umatnya menggunakan tanah untuk menyucikan bekas yang dijilat anjing? Hikmah yang sebenarnya, hanya ALLAH sahaja yang Maha Mengetahui. Namun, ada pendapat yang mengatakan bahawa dalam air liur anjing terdapat bakteria yang hanya dapat dimatikan oleh tanah yang dicampurkan dengan air.

Walaupun Rasulullah saw mengarahkan agar mambasuh bekas jilatan anjing sebanyak tujuh kali, namun ini tidak bermakna Islam menganggap anjing makhluk hina yang wajib dibenci dan dijauhi.Ini kerana Islam mengajar kita supaya mempunyai sifat rahmat dan kasih sayang sesama makhluk, termasuk kepada binatang. Walau apa pun pandangan manusia terhadap anjing, ia merupakan salah satu makhluk yang diciptakan ALLAH diatas muka bumi ini. Sekiranya seseorang itu melakukan kebaikan padan mana-mana makhluk ALLAH, maka sudah tentu akan mendapat ganjaran yang besar di sisi ALLAH swt.

Seperti mana yang diceritakan di dalam sebuah hadis bagaimana seorang lelaki diampunkan dosanya kerana menolong seekor anjing yang kehausan. Abu hurairah berkata, Rasulullah saw bersabda maksudnya:

" ketika seorang lelaki berjalan di suatu jalan, dia terlalu dahaga. Tiba-tiba dia menemui sebuah perigi. Oleh kerana tiada timba untuknya menceduk air dari perigi itu, dia pun turun ke dalamnya dan meminum air sehingga puas. Kemudian dia naik ke atas dan ternampak seekor anjing terjelir-jelir lidahnya menjilat pasir kerana terlalu dahaga. Lelaki itu berkata kepada dirinya sendiri: Anjing ini haus seperti apa yang aku rasakan sebelum ini. Lalu dia turun semula ke dalam perigi dan mengisi air ke dalam kasutnya. Dia memegang kasutnya yang dipenuhi air itu dengan mulutnya sambil memanjat naik ke atas perigi tersebut. Kemudian dia memberi anjing itu minum. Lantas ALLAH mengampunkan dosanya dan memasukkannya ke dalam syurga." Sahabat bertanya: "Ya Rasulullah! Apakah dengan menolong haiwan kita mendapat pahala juga?" Baginda menjawab: "Ya! Menolong setiap makhluk bernyawa akan diberikan pahala." (Hadis riwayat al-Bukhari)

ii-memelihara anjing tanpa ada keperluan atau sebagai haiwan peliharaan

-Islam telah menetapkan beberapa peraturan berkaitan dengan anjing ini, apatah lagi apabila ia termasuk dalam najis mughallazah. Contohnya ialah masalah memelihara anjing, adakah ia dibenarkan oleh syara' atau tidak? Oleh itu, hendaklah dilihat maksud pemeliharaan itu sama ada untuk menjaga kemaslahatan manusia atau tidak. Jika ya, maka hukumnya boleh, dan apabila tidak, maka hukumnya haram.

Termasuk yang dilarang oleh Nabi ialah memelihara anjing di dalam rumah tanpa ada sesuatu keperluan. Banyak yang telah kita ketahui, ada sesetengah orang yang berlebih-lebihan dalam memberikan makan anjingnya, sedangkan kepada manusia mereka sangat kedekut. Ada sesetengahnya pula tidak cukup untuk membiayai anjingnya itu dengan hartanya untuk melatih anjing, bahkan seluruh hartanya dicurahkan kepada anjingnya itu. Sekiranya terdapat anjing -dalam rumah seorang muslim, ini dikhuatiri akan terdapatnya najis pada bekas-bekas seperti perabot, peralatan-peralatan lain, dan sebagainya akibat daripada jilatan anjing tersebut.

Menurut Prof Dr Yusof al-Qardhawi dalam bukunya Halal wa Haram fi al-Islam, termasuk yang dilarang oleh Nabi ialah memelihara anjing di dalam rumah tanpa ada sesuatu keperluan. Nabi bersabda:

"Barangsiapa memelihara anjing tidak untuk keperluan berburu atau penjagaan, maka pahalanya akan berkurang sebanyak satu qirath bagi setiap hari" (Muttafaq 'Alaih)

Abu Hurairah r.a mengatakan bahawa Rasulullah saw bersabda, maksudnya:

"Malaikat tidak akan menemani kelompok manusia yang di tengah-tengah mereka terdapat anjing".(Hadis Riwayat Muslim)

Anjing yang dilarang dalam hadis diatas ini hanyalah anjing yang dipelihara tanpa ada keperluan kerana Islam merupakan agama yang mencintai kebersihan. Kita sendiri melihat bagaimana anjing menjilat-jilat najisnya sendiri. Tentulah menjijikkan kalau kita kemudiannya melihat tuan punya anjing berkenaan mencium mulut anjing tersebut setelah berlakunya insiden berkenaan seolah-olah tidak ada apa-apa perkara yang berlaku. Fikirkanlah berapa banyak kuman yang mungkin tersembunyi di dalam mulut mereka (mulut anjing dan mulut pemelihara yang mencium anjing itu).

Nabi s.a.w mengingatkan kita supaya tidak dicemari kotoran seperti itu apabila baginda memerintahkan supaya kita menghindari air liur anjing.

iii-malaikat rahmat tidak akan memasuki rumah yang di dalamnya terdapat anjing

- Pemeliharaan anjing tanpa sebarang keperluan dilarang kerana malaikat tidak masuk ke dalam rumah yang terdapat di dalamnya anjing. Sabda Nabi:

"Malaikat tidak masuk ke dalam rumah yang ada di dalmnya anjing dan gambar"
(Muttafaq 'alaih)

Sabda Baginda lagi,

"Malaikat Jibril datang kepadaku, kemudian ia berkara kepadaku sebagai berikut: Malam tadi aku datang kepadamu, tidak ada satupun yang menghalang aku untuk masuk kecuali kerana di pintu rumahmu ada patung dan didalmnya ada langsir yang bergambar, dan di dalam rumah itu ada pula anjing. Oleh kerana itu perintahkanlah supaya kepada patung itu dipotong untuk dijadikan seperti keadaan pohon dan perintahkanlah pula supaya langsir itu dipotong untuk dijadikan dua bantal yang diduduki dan perintahkanlah supaya anjing itu supaya dikeluarkan (Riwayat Abu Daud, Nasa'i ,Tarmizi dan Ibnu Hibban)

Daripada Ibn Umar r.a meriwayatkan bahawa malaikat Jibril a.s berjanji akan datang menemui asulullah saw. Setelah sekian lama menanti, Jibril a.s tidak juga muncul. Lalu Rasulullah saw pun keluar, dan baginda menemui Jibril di luar. Rasulullah mengadu akan kelewatan tibanya. Jibril menjelaskan dengan mereka dengan berkata:

" Sesungguhnya kami tidak memasuki rumah yang ada anjing dan gambar"
(Hadis Riwayat al-Bukhari)

Menurut Abdul Qadir Ahmad 'Ata menerusi bukunya Haza Halal wa Haza Haram, antara sebab malaikat tidak masuk ke dalam rumah yang mempunyai anjing ialah anjing merupakan binatang yang banyak makan benda-benda kotor serta mempunyai bau yang kurang menyenangkan yang tidak disukai oleh para malaikat.

Imam al-Qurthubi berkata: "Telah terjadi ikhtilaf di antara para ulama' tentang sebab-sebab Malaikat Rahmat tidak memasuki rumah yang di dalamnya terdapat anjing. Sebahagian ulama' mengatakan bahawa anjing itu najis, dan ada pula yang mengatakan bahawa ada anjing yang menyerupai syaitan. Malaikat yang tidak memasuki rumah yang mempunyai anjing itu ialah malaikat tertentu sahaja seperti Malaikat Jibril dan Malaikat Rahmat. Manakala malaikat-malaikat lain tetap akan masuk ke dalam rumah yang mempunyai anjing. Ini kerana terdapat nas-nas yang menunjukkan malaikat ada di mana-mana bersama anak Adam, khususnya Raqib dan A'tid yang mencatat segala amalan manusi. Apatah lagi malaikat maut, akan masuk mana-mana rumah untuk mencabut nyawa penghuninya yang sudah sampai waktu ajalnya.

Manakala Ibnu Hajar dalam al-Fath al-Bari pula berkata: "Ungkapan malaikat tidak akan memasuki rumah....." menunjukkan malaikat secara umum (malaikat rahmat, malaikat hafazah, dan malaikat lainnya)". Akan tetapi pendapat yang dikemukakan oleh Ibnu Wadhah, Imam al-Khathabi, dan yang lainnya mengatakan: "Kecuali melaikat hafazah, mereka tetap memasuki rumah setiap orang kerana tugas mereka ialah mendampingi manusia sehingga tidak pernah berpisah sedetik pun dengan manusia. Sedangkan yang dimaksudkan dengan malaikat (yang tidak memasuki rumah yang mempunyai anjing) ialah malaikat rahmat (yang suka memohon keampunan untuk manusia) bukan malaikat hafazah yang menjaga manusia. [lihat syarah Shahih Muslim 14/94].

iv-memelihara anjing pemburu dan penjaga, hukumnya mubah

-Menurut Prof Dr Yusof al-Qardhawi dalam bukunya Halal wa Haram fi al-Islam, adapun anjing yang dipelihara kerana ada kepentingan, misalnya untuk berburu, menjaga tanaman, menjaga binatang dan sebagainya dapat dikecualikan dari hukum ini. Ini kerana dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari, Muslim dan lain-lain[inilah juga pendapat majoriti mazhab, antaranya syafi'i,Hambali, Maliki, Zahiri(alMajmuu', IX/234)] , Rasulullah saw bersabda:

"Barangsiapa memelihara anjing, selain anjing pemburu atau penjaga tanaman dan binatang, maka pahalanya akan berkurangan setiap hari dengan satu qirat"

*Qirat adalah kadar yang diketahui disisi ALLAH swt (Imam Nawawi)

Berdasarkan hadis tersebut, sebahagian ahli fiqh berpendapat bahawa larangan memelihara anjing itu hanya makruh, bukan haram. Apabila berkurang pahalanya satu qirat bererti ianya berdosa kerana hilangnya pahala seperti mendapat dosa, keduanya menunjukkan haramnya. Ini kerana sesuatu yang haram sama sekali tidak boleh diambil/dikerjakan baik pahalanya itu berkurang atau tidak.

Menurut al-Qardhawi, walaupun majoriti fuqaha' mengatakan haram, bukan bererti Islam bersikap keras terhadap anjing atau kita diperintah untuk membunuhnya. Rasulullah saw telah bersabda:

"Andaikata anjing-anjing itu bukan umat seperti umat-umat yang lain, nescaya aku perintahkan untuk dibunuh".(Riwayat Abu Daud dan Tarmizi, dinilai sahih oleh al-bani dalam Ghayatul Haram)

Dengan hadis tersebut Nabi mengisyaratkan kepada suatu pengertian yang besar seperti halnya yang ditegaskan juga oleh al-Quran:

"Tidak ada satupun binatang di bumi dan burung yang terbang dengan dua sayap, melainkan suatu umat seperti kamu juga." (al-An'am: 38)

Rasulullah saw pernah juga mengisahkan kepada para sahabatnya tentang seorang lelaki yang menjumpai anjing di padang pasir, anjing itu menyalak-nyalak sambil makan debu kerana kehausan. Lantas lelaki tersebut menuju ke sebuah sumur dan melepaskan sepatunya kemudian memenuhinya dengan air, lantas minumlah anjing tersebut dengan sepuas-puasnya.

Setelah itu, Nabi bersabda:

"Kerana itu ALLAH berterima kasih kepada orang yang memberi pertolongan itu serta mengampuni dosanya."(Riwayat Bukhari)

v-Anjing boleh dibela untuk tujuan-tujuan yang berikut:

1-Anjing yang dilatih (anjing terlatih) untuk kerja-kerja memburu. Harus diingat, Ialam hanya membenarkan pemburuan untuk mendapatkan makanan; bukan memburu kerana sukan, suka-suka dan berseronok kerana Islam tidak membenarkan haiwan dibunuh atau diseksa atau diusir dari tempat yang lazim mereka tinggal, hanya untuk suka-suka.

2-Membela anjing terlatih sebagai jurupandu. Ini mungkin diperlukan oleh orang buta dan mungkin orang itu perlu memelihara anjing untuk memberi khidmat yang diperlukannya. Dalam hal itu, orang itu dibenarkan memelihara anjing di dalam rumah apabila anjing itu talah dilatih untuk menjalankan khidmat berkenaan, tetapi masih tetap disyorkan supaya anjing itu ditempatkan di tempatnya sendiri/secara berasingan daripada tuannya.

3-Anjing terlatih untuk kegunaan tugas-tugas kepolisian
4-Anjing terlatih untuk menjaga rumah atau harta
5-Anjing terlatih untuk digunakan oleh penternak'peladang untuk kerja-kerja mengembala kambing/lembu.

vi-Hikmah larangan pemeliharaan anjing

-Sebahagian ulama' ada berpendapat, bahawa hikmah dilarang memelihara anjing di rumah ialah, sekiranya anjing itu menyalak, ia dapat menakutkan tetamu yang berkunjung ke rumah dan mengganggu orang yang sedang berjalan.

Antara alasan-alasan fuqaha' seperti Ibn Hajar ialah:
1-Ia menakutkan jiran-jiran dan orang yang lalu-lalang di luar rumah atau orang yang mengunjunginya
2-berkurangnya pahala kepada pemeliharaannya
3-keengganan malaikat masuk rumah yang ada anjing
4-Tabiat anjing yang suka menjilat dan kenajisan jilatan itu mungkin menyukarkan pemeliharanya.
5-Ada anjing yang menjadi jelmaan anjing (anjing hitam pekat)

Kesimpulannya, dapat dinyatakan bahawa memelihara anjing hanya dibenarkan apabila wujud keperluan untuk menjaga maslahah manusia. Namun begitu, sekiranya tidak didasarkan kepada apa-apa keperluan, maka pemeliharaan anjing adalah haram dan dilarang. Ini berikutan "najis mughallazah" yang terdapat pada anjing tersebut dan kesan pemeliharaan tersebut menyebabkan malaikat rahmat tidak memasuki rumah penghuni. Justeru, apabila kita melihat kebanyakan anggota masyarakat dalam negara kita. didapati bahawa anjing tidaklah merupakan suatu keperluan untuk dipelihara. Berdasarkan dalil-dalil yang banyak, maka pemeliharaan anjing sebagai hobi adalah dilarang oleh Rasulullah saw dengan berita-berita yang tidak menggembirakan kepada pemeliharanya. Jadi, tidak sewajarnya kita memandang remeh dalam soal ini dan tidak sewajarnya kita terpengaruh dengan perlakuan orang lain.






Rujukan:
1-Fathul Bari oleh Ibnu Hajar Asqalani
2-Syarh sahih Mslim olen Imam Nawawi
3-Mausuah Feqhiah Kuwaitiah
4-Al-Halal wal Haram fi Islam oleh Syekh Muhammag Yusuf al-Qardhawi
5-Panel Kemusykilan agama, JAKIM
6-kitab al-Fatwa Asy-Syar'iyyah fi al-Masa'il al-Ashriyyah Min Fatawa Ulama Al-Balad al-Haram, penyusun Khalid al-Juraisiy, Edisi Indonesia Fatwa-fatwa terkini, Penerbit Darul Haq.



Renungan sejenak:_

*Berkatalah pada diri, apakah yang halal itu bisa diharamkan, dan yang haram itu bisa dihalalkan??Mengapa kita perlu mencari dan terus mencari kebenaran yang menjerumuskan kita ke dalam kebatilan sedangkan Sunnah terlalu berpegang kuat kepada al-Quran?

"Sesungguhnya orang yang memperdebatkan ayat-ayat ALLAH tanpa alasan (bukti) yang sampai kepada mereka, yang ada dalam dada mereka hanyalah (keinginan akan) kebesaran yang tidak akan mereka capai, maka mintalah perlindungan kepada ALLAH. Sungguh, Dia Maha Mendengar, Maha Melihat".(al-Mu'min:56)

Andai al-Quran dan Sunnah Rasulullah dipisahkan, maka berkecailah iman kita yang kecil ini. Ambillah kedua-duanya tanpa tinggal salah satu. Kerana, kata-kata ALLAH itu sesungguhnya dibenarkan dan disampaikan oleh Rasulullah melalui hadis-hadisnya.

"Tidaklah beriman dengan Al-Quran oleh orang yang menghalalkan apa yang diharamkan oleh Al-Quran". (Riwayat at-Tirmizi)

"Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya.Itulah Al-Quran dan Sunnahku". (Khutbah Terakhir Rasulullah)



wallahu'alam..

3 leave ur comment here:

nur_islam said...

Salam ziarah ya ukhti...

Entry yang sangat bagus dan jelas serta mudah difahami.

K.lin pun ada terbaca juga tentang soal pemelihara anjing (lelaki melayu Islam) ini, kalau tak silap kak lin dalam akhbar metro baru-baru.

K.lin cuma baca sepintas lalu. Tak pun membaca sepenuhnya.

Bagus Niesa'. Perkongsian yang sangat bermanfaat utk semua.
Dan membantu meleraikan kekeliruan masyarakat ttg soal ini.

Moga dapat Allah SWT menambahkan ilmu dan merahmati usahamu dik...

Barakallahu feek.

Wasalam.

♥Niesa' imana♥ said...

salam kak lin..

ini je yang ana boleh kongsikan,kak..alhamdulillah,memang ana harapkan pun perkongsian ni boleh difahami dengan jelas...ana sendiri pun pening jugak sebenarnye dengan isu nih..banyak sangat hadis yang bersangkut-paut..dan lagi, percanggahan pendapat antara ulama'..apa pun,keputusan yang tepat adalah berdasarkan majoriti ulama' dalam sesuatu keputusan..walau macammana pun,syukur alhamdulillah,ALLAH mempermudahkannya..

ameen..syukran ye kak..
semoga ALLAH swt memberkati akak juga..ameen..ameen..ameen..

maza said...

Terima kasih kerana menerbitkan artikel yang berguna ini..

Alhamdulilah, kami dapat juga mengerti.

http://mazaaida.blogspot.com